Saturday, 21 April 2012

QAWAID AL_FIQHIAH

Qawaid fiqhiah.

Qawaid dari segi bahasa: (قاعدة) asas iaitu asas bagi sesuatu perkara dan usulnya. 

Istilah: (الأمر الكلى الذى ينطبق عليه جزئيات) perkara pokok yang dipraktikkan ke atas perkara- ranting@ cawangannya.  mengikut kaedah fiqah : perbuatan Mukallaf dan objeknya ialah hukum syara'. 
misalnya (اليقين لا يزيا بالشك) keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak dan sebagainya.

Definisi Qawa’id Fiqhiyyah
Islam adalah agama mudah dan memudahkan. Islam juga adalah sebuah agama yanag amat bersesuaian dengan kehendak fitrah kehidupan manusia. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi pembatalan hukum kerana penurunan wahyu telah berakhir. Namun, ruang ijtihad masih terbuka di atas dasar prinsip-prinsip fiqh Islam yang fleksibel. Khasnya dalam masalah hukum berdasarkan ijtihad yang berkaitan dengan adat kebiasaan manusia yang turut berubah disebabkan perubahan masa dan tempat. Para ulama’ juga sependapat tidak dapat dinafikan bahawa terdapat perubahan hukum berdasarkan perubahan masa.
Ilmu berkaitan Qawa’id Fiqhiyah adalah satu disiplin ilmu yang amat penting untuk dipelajari oleh setiap mukallaf walaupun hanya secara umum. Wajar bagi penuntut ilmu menguasai sekurang-kurangnya asas penting dan beberapa kaedah utama daripada kaedah-kaedah fiqh tersebut. Perkataan qawa’id dari segi bahasa bermaksud asas rumah dan selainnya.[1] Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 127 yang berbunyi :

Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui".
Dalam bahasa Arab, kalimah qawaid mempunyai maksud-maksud lain seperti seorang perempuan yang duduk, pemalas, undang-undang dan kalimah ini juga turut membawa makna ibu negeri.[2] Manakala dari aspek istilah syarak pula, menurut Mustafa Ahmad al-Zarqa’ dalam kitabnya al-Madhal al-Fiqhu al-‘Ammu, kalimah qawaid membawa makna hukum yang dipraktikkan ke atas keseluruhan masalah juz’iyyat.
Ada juga dalam kalangan ulama’ Usul Fiqh yang menjelaskan pengertian qawaid dari segi istilah dengan makna hukum kulli atau bersifat umum yang dipraktikkan ke atas semua hukum juz’i untuk mengetahui hukum daripadanya.[3]
perbezaan antara Nazoriyyah fiqhiyyah, Qawaid fiqiyyah,Qawaid usuliyyah, Maqasid syariiyah, Dhowabit Fiqhiyyah.

1-Nazoriyyah fiqhiyyah : bermaksud pengantar dan asas-asas kepada pengenalan pengajian yang terkandung dalam ilmu syariah dan fiqh sendiri

 2-qawaid fiqhiyyah : bermaksud kaedah2 umum dalam fiqh islam yang mana didalamnya merangkumi hukum2 syarak yang berbentuk umum.Dan terjadi hukum tersebut selari dengan kaedah yang terbentuk.

 3-qawaid usuliyyah : penjelasan dalamnya adalah berkaitan masalah2 yang mencangkupi pelbagai dalil yang terbentuk secara tafsili.Yang mana daripada dalil tersebut mungkin dapat mengistinbatkan hukum.Tapi klu qawaid fiqhiyyah semata2 kepada hukum2 fiqh sahaja.

 4-maqasid syariiyah : maksudnya tujuan atau matlamat sesuatu perkara itu dijadikan sebagai hukum.Selalunya bersandarkan kepada perbuatan nabi saw.

  5- Dhowabit Fiqhiyyah: dari sudut bahasa boleh ditakrifkan sebagai kriteria, penanda, ukuran, prinsip, kaedah, piawaian atau tepat. Selain membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila dihubungkan dengan kerangka perbahasan Ilmu Fiqh : ia bertujuan menghimpunkan/meletakkan hukum hakam yang terkandung dibawahnya tepat pada tempatnya ( iaitu menepati prinsip Syara )

Sebahagian ulama' feqah membahagikan kaedah fiqhiyyah kepada 5 bahagian dan setiap bahagian itu ada cawangannya..

1-Setiap Perkara Dinilai Berdasarkan Niat.( الأمر بمقاصدها )
             Kaedah ini membawa maksud tiap-tiap perkara itu menurut tujuannyaatau setiap perkara diambil kira berdasarkan niatnya. Oleh itu, amalan-amalan yang dilakukan oleh mukallaf ditentukan oleh niatnya. Asal kaedah ini diambil daripada sabda Nabi, antaranya :    

                  a)      Hadis daripada Saidina Umar yang diriwayatan oleh Muslim: 
انما الأعمال بالنية وانما لامرئ ما نوى, فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امراة ينكحها فهجرته الى ماهاجر اليه. 
Terjemahan: sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambil kira berdasaran niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasuln-Nya maka hijrahnya itu kerana Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau sesiapa yang berhijrah kerana wanita yang ingin dikahwaninya . Maka hijrahnya itu berdasarkan apa yang ia hijrahkannya. 

b)      Hadis daripada Anas yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi:
 لا عمل لمن لا نية له 
Terjemahan : tidak dikira amalan sesiapa yang tidak berniat. 

c)      Hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:  
ييعث الناس على نيتهم 
Terjemahan : manusia akan dibangkitkan berdasarkan niatnya.
  Oleh itu, niat menjadi syarat utama sah atau batal sesuatu perkara itu atau diberi pahala atau dosa. Untuk itu, amalan yang tidak disertai niat tidak mendatang apa-apa kesan. 
 Pecahan Kaedah
Berdasarkan kepada kaedah pertama diatas boleh dipecahkan epada beberapa kaedah lain yang lebih kecil.  Antaranya:

 a.       ( عدم اشتراط النية فى عبادة لا تكون عادة أو لا تلتبس) Tidak disyaratkan niat dalam mana-mana jenis ibadat yang ia bukan jenis adat, atau ia tidak akan kesamaran dengan yang lain. 
 Contohnya seperti beriman kepada Allah, takut dan mengharap kepada-Nya, membaca al-Qur’an, zikir. Hal ini kerana bentuk amalan itu sudah pun berbeza dengan yang lain, tetapi diwajibkan niat pada membaca al-Qur’an apabila dinazarkannya bagi membezakan fardhu dengan yang lainnya. 

b.      ( اشتراط التعيين فيما يلتبس دون غيره) Disyaratkan ta’yin(menentu) dalam mana-mana amalan yang mempunyai persamaan, tetapi tidak disyaratkan ta’yin pada amalan yang tidak kesamaran dengan yang lain.  
Contohnya yang disyaratkan ta’yin ialah seperti solat,  dan yang tidak diperlukan ta’yin adalah seperti taharah, haji dan umrah. 

c.       ( مالا يشترط التعرض له جماة وتفصيلا اذا عينه وأخطأ لم يضر) Sesuatu amalan yang tidak disyratkan ta’arrudh baginya sama ada secara ringkas mahupun terperinci, apabila dita’yinkan dan tersalah ta’yin itu maka ia tidak memudaratkan(tidak batal).  
Contohnya, seperti ta’yin tempat solat dan waktunya, ta’yin imam akan makmun dibelakangnya, tiba-tiba tersalah maka tidak batal solat tersebut. 

d.      ( ما يشترط فيها التعيين فالخطأ فيه مبطل) Amalan-amalan yang disyratkan ta’yin, jika tersalah ta’yin maka ia membatalkan amalan itu.  
Contohnya, tersalah niat puasa kepada niat solat atau sebaliknya, dan dari solat zohor kepada asar. 

e.       ( ما يجب التعرض له جملة ولا يشترط تعيينه تفصيلا اذا عينه وأخطأضر) Amalan-amalan yang wajib dita’arrudh baginya secara ringkas dan tidak disyaratkan ta’yinnya secara terperinci apabila dita’yinkan dan tersalah maka ia menjadi mudarat(batal).  
Contohnya, seseorang yang sembahyang jenazah dengan berniat si Zaid, kemudian ternyata  yang disembahyangkan itu Umar, atau ditentukan lelaki yang sebenarnya perempuan, maka terbatal sembahyang jenazah itu jika tidak disebutkan mayat itu.

 f.        النية فى اليمين تخصص اللفظ العام ولا تعم الخاص)) Iaitu niat seseorang yang dilakukan dalam sumpah boleh mentakhsiskan atau mengkhususkan ucapan dan perkataan yang am, tetapi dia tidak boleh mengumunkan lafaz yang khas.  
Contohnya, seseorang yang berkata demi Allah aku tidak akan bercakap dengan satu orang dan dia niatkan orang itu Umar.  

g.     ( مقاصد اللفظ على نية اللافظ الا فى موضع واحد وهو اليمين عندالقاضى) Tujuan dan matlamat lafaz adalah dirujuk kepada  niat orang yang berlafaz kecuali satu masalah sahaja iaitu sumpah dihadapan hakim
Ini kerana sumpah dihadapan hakim adalah berdasarkan kepada niat hakim bukan dikira mengikut niat orang yang bersumpah. 

h.     ( العبرة فى العقود للمقا صد والمعاني لا للالفاظ والمعاني) Yang diambil kira dalam masalah ‘akad atau kontrak ialah tujuan dan matlamatnya, bukan berdasarkan kepada lafaz dan kalimah-kalimah sahaja.  
Contohnya, apabila seseorang berkata “aku beli dari engkau sehelai baju yang sifatnya sekia-sekian dengan harga ini”. Laludijawab oleh penjual, “ya, aku jualkannya kepada engkau”

2- Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan( اليمين لا يزال بالشك )  
Maksudnya ialah sesuatu perkara yang tidak diyakini berlaku atau tidak berlaku , maka sebarang keraguan yang datang kemudian untuk meragui keyakinan itu tidak diambil kira. Ia juga bermaksud yang asal dan yakin itu tidak boleh ditinggalkan hukumnya disebabkan oleh syak dan ragu-ragu. 

Daripada kaedah ini, kiranya seseorang yang telah meyakini perkara dan ditetapkan hukum terhadapnya, kemudian ia berlaku syak atau ragu-ragu terhadap kehilangan yakin tersebut, sama ada telah dihilangkan atau belum hilang, maka keyakinan yang asal itu tidak dapat dihilangkan atau dihindarkan kecuali dengan ada keyakinan baru yang dapat menghilangkannya.
Asal kaedah ini dengan berdalilkan dalil hadis, antaranya:     
a)      Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Muslim. Nabi bersabda:
  
اذ شك احدكم فى صلاته فلم يدر كم صلى : اثلاثا أم أربعا ؟ فليطرح الشك وليبن على ما استيقن.
 Terjemahan: Jika seseorang kamu ragu-ragu ketika sembahyangnya, ia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah
dilakukannya: tiga atau empat? Maka ketepikanlah keraguan tersebut dengan keyakinan.


    Pecahan kaedah
    Kaedah ini menerbitkan pula kaedah-kaedah yang lain.Antaranya : [12]

a   .   a)  (الأصل بقأ ما كان على ما كان) Asal Sesuatu Perkara Kekal Mengikut Keadaan Sebelumnya. Kaedah ini menunjukkan kekal sesuatu hukum masa selepasnya atau akhir dengan mengikut sabit hukum pada masa lampau.
Daripada kaedah ini terbentuk beberapa masalah, contohnya:

·        Barangsiapa yang yakin bersuci kemudian ia syak terkeluar hadas maka dihukumkan dia masih bersuci atau seorang yang yakin berhadas dan ia syak bersuci maka dikira masih
berhadas.

·        Orang yang makan dan minum pada akhir malam dan ia syak tentang naik fajar (subuh) maka puasanya sah sebab asalnya malam masil kekal dan jika ia syak tentang jatuh matahari atau tidak maka terbatallah puasanya sebab yang asal hari siang masih kekal.

b   .      b) (الأصل  برأة الذمة) Asal sesuatu perkara bebas daripada tanggungjawab.Berlaku kaedah ini memandangkan seseorang manusia pada permulaannya dilahirkan dengan ketiadaan zimmah dari sebarang kewajipan atau tanggungjawab dan keadaan ini berterusan hingga datang ke atasnya sebab-sebab atau faktor yang membawa ia kepada bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Oleh kerana terlepas daripada tanggungjawab itu merupakan asal dan terikat dengan hak itu adalah perkara yang mendatang, maka tidak diterima dakwaan orang yang mendakwa bahawa seseorang yang lain itu memikul tanggungjawab (melakukan sesuatu perkara) bahkan mestilah ia mendatangkan saksi atau dengan sumpah daripada pihak yang mendakwa. Di antara masalah fekah yang terbit daripada kaedah ini ialah:
·        Pemberi pinjam barang (pemilik) mendakwa bahawa berlaku kerosakkan pada barang yang dipinjamkannya di dalam tangan orang yang meminjam(peminjam) dan ia menuntut gantirugi barang tersebut, kemudian si peminjam menafikannya, maka dibenarkan penafian peminjam barang.
·        Pihak yang mendakwa (pendakwa) gagal membawa keterangan terhadap dakwaannya, kemudian orang yang kena dakwa (yang tertuduh) itu diperintahkan supaya bersumpah tetapi ia berdiam sahaja, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya kerana asalnya terlepas daripada tanggungjawab.

      -   (الأصل العم) c) Asalnya sesuatu itu tidak ada. Ia bermaksud setiap yang tiada mestilah mendahului ada. Untuk itu maka tiada yang asal itu hendaklah dikembalikan kepadanya, hingga sabit perkara baru yang boleh menghilangkan yang asal itu. Daripada pecahan kaedah ini lahir beberapa hukum dan masalah fekah:·  

         -Seseorang yang menggunakan harta orang lain mengatakan bahawa ia diizinkan , tetapi tuan punya barang menafikan dakwaan tersebut. Maka pengakuan pemilik barang yang diterima kerana asal harta orang lain itu tidak mendapat keizinan.
·       
-       -seseorang menafikan ia melakukan persetubuhan dengan seseorang, maka hendaklah diterima penafiannya, kerana asalnya dan mengikut asalnya tidak ada perhubungan seks.
d   . d)   (من شك: هل فعل شئا اولا, فأصل أنه لم يفعله) Sesiapa yang syak adakah ia telah melakukan sesuatu atau belum, maka dianggap ia belum melakukaknnya. Sesiapa yang yakin telah mengerjakan sesuatu perbuatan tiba-tiba timbul keraguan adakah pekerjaan yang telah dikerjakan itu sedikit ataupun banyak, maka ditanggungkan hukumnya di atas yang sedikit kerana pekerjaan yang sedikit itu diyakini. Di  antara contoh yang terbit  darinya:
·        Seseorang syak di dalam sembahyangnya adakah ia telah tertinggal sesuatu perkara yang ia kena lakukan di dalam sembahyangnya seperti qunut dan sebagainya, maka
hendaklah ia sujud sahwi kerana asalnya ia tiada melakukannya.
·       
Orang yang syak di dalam sembahyangnya tertinggal salah satu daripada rukunnya, maka wajib ia mengulangi rukun tersebut. Begitu juga orang syak ketika berwudhu', maka wajib ia mendatangkan (melakukan) semula perkara yang ia syak itu.
·       
Seorang yang syak adakah ia telah membasuh dua atau tiga kali anggota wudhu'nya maka hendaklah (sunat) ia mengambil yang sedikit iaitu dua kali dan ditambah dengan basuhan yang ketiga.

e    .e)    (الأصل فى كل حادث تقدره بأقرب زمن) Asal bagi tiap-tiap kejadian dikira berdasarkan masa yang paling hampir sekali. Berdasarkan kaedah ini tersebut beberapa hukum,contohnya:
·        Seseorang yang melihat ada mani pada kainnya padahal ia tidak ingat samada ia bermimpi atau tidak ketika tidur, maka wajiblah ia mandi menurut pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafie dan wajiblah ia mengulangi sembahyang yang dilakukannya selepas daripada tidur yang akhir sekali.

·        Seseorang yang mengambil wudhu' beberapa hari dari satu perigi dan dia sembahyang dengan wudhu' tersebut kemudian dia mendapati tikus mati di dalamnya maka, tidak wajib diqadhakan sembahyangnya kecuali ia rasa yakin berwudhuk dengan air yang najis.

f.     - f)  (الأصل فى الاشيأ الاباحة, حتى يدل الدليل على التحريم) Asal bagi sesuatu itu harus hingga ada dalil yang menunjukkan haram. Kaedah ini lahir berdasarkan hadis daripada Abi Darda’ yang diriwayatkan oleh Bazzar dan al-Tabrani:

ما أحل الله فهو حلال, وما حرم فهو حرام, وما سكت عنه فهوا عفو,فاقبلوا من الله عافيته, فان الله لك يكن ليسى شيئا 
Bermaksud: Perkara yang telah dihalalkan oleh Allah SWT adalah halal, perkara yang diharamkannya itu adalah haram dan perkara yang didiamkan daripadanya adalah dimaafkan. Maka terimalah kamu kemaafan kerana Allah SWT tidak mungkin lupa terhadap sesuatu.

       Daripada kaedah tersebut terbit beberapa masalah:
·        Binatang yang tidak jelas atau samar-samar nas tentang haramnya, hukumnya adalah halal dimakan.

·        Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang tidak diketahui nama dan hukumnya adalah halal dimakan

g   . g)    (الأصل فى الكلام الحقيقة) Asal di dalam percakapan ialah hakikat. Berdasarkan kaedah ini terbentuk beberapa masalah dan hukum, contohnya:
·        Seseorang yang mewakafkan atau mewasiatkan sesuatu kepada anak-anaknya tidak termasuk cucunya menurut pendapat yang asah, kerana nama anak pada hakikatnya
ialah anak sejati.
 
·         Jikalau seseorang itu bersumpah tidak akan membeli, selepas  itu ia mewakilkan kepada orang lain supaya membeli, ia tidak wajib membayar kaffarah.

h   . (الأصل فى الأبضاع التحريم) h)  Kemaluan perempuan itu asalnya haram. Berdasarkan kaedah ini lahir  beberapa hukum dan masalah, contoh seseorang yang ingin berkahwin dengan perempuan yang dia tidak yakin sama ada perempuan itu mahramnya atau ajnabi, maka haram dia berkahwin dengannya, kerana berdasarkan pengharaman asalnya.
      3- Kesusahan Membawa Kemudahan( المشقة تجلب التيسير ) 
    Kaedah ini bermaksud , apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah, maka perintah itu ringankan , tidak seperti asalnya. Kaedah ini berdasarkan dalil al-Qur’an dan hadis :
       a)      Sebagaimana firman Allah:[13] 
     Terjemahannya: (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 
      
       b)      Firman Allah lagi:[14] 
         Terjemahan: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)     
       c)      Hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayat oleh Buhari dan Muslim :
إنما بعثتم ميسرين, ولم تبعثوا معسرين [15]
Terjemahan : Sesungguhnya kamu diutus untu memudahkan dan bukan diutus untuk menyusahkan.                           Berdasarkan kaedah ketiga tersebut, meletakkan bebanan itu menjadi kesukaran terhadap hamba-hamba, untuk itu kesusahan tersebut juga menjelaskan kepada kita bahawa agama Islam itu membawa konsep kemudahan terhadap umatnya dan member keringanan bukan kesusahan dan kesempitan. Walaupun begitu, mestilah terlebih dahulu menentukan musyaqqah atau kesusahan yang menjadi sebab keringanan.       Walaupun pada zahirnya dalam syariat Islam dan kehidupan seharian manusia mempunyai taklif yang juga berbentuk musyaqqah atau kesusahan seperti: kewajipan mencari rezeki dengan sepenuh tenaga dan kewajipan menunaikan tuntutan agama, namun sebenarnya itu bukan merupakan satu musyaqqah bagi manusia.  Tuntutan taklif tersebut tidak dikira musyaqqah atau kesusahan kerana dari segi adat dan kebiasaaan tidak menjadi bebanan kepada manusia bahkan satu keperluan kepada mereka.  Antara lain juga dalam syariat terdapat kesusahan yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan. Untuk itu, kesusahan tersebut tidak boleh menjadi sebab untuk mewujudkan kemudahan atau keringanan atau rukhsah. Sekiranya dalam hal tersebut dan semua perkara diberi rukhsah, sudah pasti manusia tidak akan hidupsempurna. Contohnya, sekiranya mereka tidak berusaha dan gigih mencari rezeki, mereka akan kepapaan. Sedangkan mencari rezeki itu adalah wajib kemudian barulah berserah kepada Allah.[16]
1-  Tujuan Musyaqqah 
Pada dasarnya kaedah: Kesukaran membawa kemudahan mempunyai tujuan tertenu dan dengan memenuhi syarat tertentu iaitu:[17] 

a.       Mushaqqah atau Kesukaran yang mendatangkan kesenangan atau keringanan ialah yang terkeluar daripada garis kesusahan biasa seperti tugas-tugas yang dibebankan itu amat
berat untuk dilaksanakan. Sehingga boleh membawa kepada kemudharatan kepada diri atau harta benda, jadi kesusahan atau kesukaran seperti ini boleh membawa kepada keringanan seperti puasa orang yang sakit boleh membawa kepada bahaya, maka syara' memberi kemudahan kepada pesakit untuk meninggalkannya tetapi ia wajib mengqhadakannya.
 
b.      Adapun mushaqqah atau kesusahan biasa yang tidak boleh dijadikan sebab bagi keringanan atau rukhsah . Iaitu kesusahan yang tidak membawa kemudaratan kepada diri dan jiwa. Contohnya berpuasa pada musim panas dan cuaca panas terik sepanjang hari, tidak boleh menjadi sebab digugurkan taklif atau mengambil rukhsah.
 2 -   Sebab-sebab Rukhsah 
Menurut penelitian ulama’, terdapat beberapa sebab kesusahan yang dapat memberi keringanan terhadap perlaksanaan hukum syarak. Antara sebab atau rukhsah dalam melakukan ibadat dan lainnya terbahagi kepada tujuh perkara:[18]
·        Pertama: Musafir atau mengembara, maka hukum syara' mengharuskan qhasar sembahayang, meninggalkan puasa, menyapu khuf lebih daripada kadar sehari semalam dan menggugurkan fardu Jumaat.

·        Kedua:Penyakit, syara' telah memperuntukkan hukum rukhsah terhadap pesakit, antaranya: syara' telah mengharuskan ia bertayammum jika dikhuatiri penyakit itu
semakin melarat atau bertambah sakit yang mungkin boleh membawa kepada kemudharatan atau mati anggota badan, dan diharuskan kepadanya duduk atau berbaring semasa menunaikan sembahyang atau rukuk dan sujud secara isyarat. Begitu juga bagi orang yang beriktikf diharuskan ia keluar dari masjid dan menggantikan orang lain untuk mengerjakan ibadat haji, dan diharuskan berubat dengan menggunakan najis dan harus doktor melihat aurat pesakit semasa ia membuat rawatan dan pemeriksaan.
 

·         Ketiga: Paksaan, orang yang dipaksa dandiugut dengan sesuatu tindakakn yang boleh mengancam nyawa atau anggota badan seperti dipaksa supaya melafazkan perkataan kufur maka harus ia berlafaz dengannya, akan tetapi iman di hatinya tetap teguh kepada Allah. 

·        Keempat: Terlupa,menjadi sesuatu sebab bagi hukum keringanan. Seperti mereka yang mati atau minum secara terlupa tidaklah membatalkan puasa.

·        Kelima: Kejahilan, juga termasuk di dalam keuzuran yang membawa kepada keringanan seperti seorang yang tidak tahu rakan kongsinya telah menjual sebahagian rumah yang ia miliki secara berkongsi maka syarak membenarkannya hukum syuf'ah di antara mereka berdua.

·        Keenam: Umum al-Balwa (kesukaran dalam perkara)  juga termasuk di dalam sebab-sebab bagi keringanan seperti seseorang yang terkena penyakit dedas iaitu suatu penyakit yang mana pesakitnya selalu terkeluar air kencingnya, oleh itu dimaafkan ia sembahyang di dalam keadaan najis, begitu juga tahi burung yang meratai di dalam masjid dan di tempat-tempat tawaf, debu-debu jalan dan lain-lain lagi.
 
·         Ketujuh: Kekurangan, juga termasuk didalam kaedah ini seperti tidak dibebankan ke atas kanak-kanak(taklif) dan orang gila. Kaum perempuan tidak diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang Jumaat, jihad dan diharuskan kepadanya memakai pakaian daripada sutera dan emas.
 
  Pecahan Kaedah
         Daripada kaedah ini , terbentuk beberapa pecahan iaitu:[19]

            a) Sesuatu perkara apabila tersepit ia menjadi luas. 
     Contohnya seorang wamita yang kehilangan walinya (tidak diketahui dimana dia berada, hidup atau mati) sedangkan tidak ada wali hakim ditempat itu, maka bolehlah ia melantik seorang lelaki sebagai wali tahkim bagi mengahwinkan dengan lelaki pilihannya. Selain itu, diharuskan perempuan yang ber’idah keluar rumah apabila keadaan mendesak seperti bekerja untuk saran hidup.

b    b) Sesuatu perkara apabila menjadi luas maka ia akan menjadi sempit. 
     Maksudnya apabila darurat telah telah menimpa seseorang atau jemaah, kalau beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitan dan membebankan mereka untu melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan keatas mereka selagi mana darurat itu masih wujud. Inilah makna “sesuatu perkara apabila tersepit akan menjadi luas”.  Tetapi apabila hilang darurat tersebut nescaya kembali hukum kepada asal ia disyariatkan. Inilah yang dimaksudkan “ apabila menjadi luas sesuatu perkara, maka ia akan sempit”.
4  -Kemudaratan hendaklah dihapuskanالضرر يزال)  )

Kaedah ini membawa pengertian bahawa kemudaratan itu harus dihilangkan dengan makna kemudaratan yang telah terjadi. Apabila keadaan demikian berlaku maka ia wajib dihilangkan. Kaedah ini juga membawa maksud sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya mestilah dihapuskan dan perkara yang merbahaya itu juga hendaklah dihilangkan sama. Dalil asas kepada kaedah ini ialah sabda Rasulullah SAW : 
لا ضرار ولا ضرار
Maksudnya : Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan.

            Justeru itu, tidak boleh sama sekali melakukan kerosakan dan kemudaratan terhadap diri sendiri, lebih-lebih lagi terhadap orang lain. Lantaran itulah dalam keadaan tersebut, ia wajib dihindarkan sama ada kemudaratan tersebut berkait dengan hak umum atau pun khusus. Sebagai rumusannya, seseorang insane itu tidak boleh sama sekali melakukan kemudaratan terhadap saudaranya dari sudut permulaan dan tidak boleh pada bahagiannya. Hal ini kerana dengan kemudaratan itu membawa erti menyertakan kerosakan kepada orang lain. Oleh itu, jumhur ulama’ menetapkan bahawa segala yang boleh memudaratkan kaum Muslim adalah wajib dijauhi. Selaras dengan kata-kata Imam al-Shatibi yang mengatakan bahawa sesungguhnya syariat itu diasaskan untuk membawa kemaslahatan kepada manusia.
 
   Pecahan kaedah 
Berdasarkan kaedah ini, terbahagi pula kepada beberapa bahagian dan cabang. Antaranya:[20] 

a)      ) (الضرر لا يزال بااضرار kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan. Kaedah ini bermaksud, biarpun kemudaratan itu mesti dihilangkan, namun bukanlah dengan cara menimbulkan bahaya seperti itu juga. Apatah lagi jika lahir bahaya yang lebih besar. Justeru, melalui kaedah ini, kemudaratan itu tidak boleh sama sekali dihilangkan dengan kemudaratan juga. Hal ini kerana seandainya ia diharuskan, sudah tentulah ia bertentangan dengan kaedah asas iaitu   (الضرر يزال) . Justeru, kaedah pecahan tersebut telah membataskan kaedah asas sebelumnya. Kerana jika semua itu berlaku, tidak ada makna, bahkan menambahkan masalah yang lebih besar. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah : 
·        Tidak boleh seseorang yang dalam kelaparan mengambil makanan orang lain yang juga akan mati kebuluran sekiranya makananya diambil.
·         Doktor tidak boleh mengambil darah seseorang untuk ditambah kepada pesakit yang memerlukan darah, jika darah yang diambil menyebabkan pula orang itu tenat atau membawa kepada kematian.
·         Seseorang itu tidak boleh memotong jari tambahannya yang ada jika dibimbangi memudaratkannya.
                  b) (الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف  ) kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih  ringan. Kaedah ini mempunyai kaitan dengan kaedah yang sebelumnya yang mana membawa maksud apabila terdapat dua kemudaratan dalam satu masa secara serentak, penyelesaiannya adalah kemudaratan yang lebih berat seharusnya dihilangkan dengan dikerjakan kemudaratan yang lebih ringan. Dalam keadaan lain, kaedah ini bermaksud sekiranya terdapat dua kemudaratan, atau apabila bertentangan antara dua kemudaratan, hendaklah diperhatikan mana yang lebih besar bahaya. Iaitu dengan dilaksanakan yang lebih kecil bahayanya dan dihindarkan yang lebih besar kemudaratannya. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

·         Adanya hukum hudud untuk membendung kemudaratan yang lebih besar.
·        Membedah perut wanita yang mati dalam keadaan mengandung, jika dengan cara itu bayi dalam kandungannya itu dapat diselamatkan.
    ·        Seseorang boleh mendiamkan diri dan mencegah di dalam hati sahaja sebarang kemungkaran yang berlaku, sekiranya jika ditegah secara terang-terang bimbang akan membahayakannya.
     ·          Seseorang yang tiada pakaian menutup aurat untuk sembahyang, boleh sembahyang dengan pakaian sekadar yang termampu. 

   c)    درء المفاسد مقدّم على جلب المصالح)) menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kemaslahatan. Kaedah ini memberi maksud, apabila bertembung antara perkara yang membawa kemaslahatan dan perkara yang membawa kepada kemudaratan, pelaksanaannya hendaklah diarahkan kepada mencegah kemudaratan. Oleh itu, usaha mencegah kerosakan lebih diutamakan daripada usaha untuk mendapat kebaikan yang sedikit. Hal ini kerana dibimbangi kerosakan tersebut akan merebak hinggalah menyebabkan lahirnya kemudaratan yang lebih besar. Firman Allah SWT : [21]
  
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang arak dan judi.  Katakanlah : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.
Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
·        Menghapuskan iklan rokok untuk mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya adalah lebih baik daripada mendapat bayaran iklan yang sedikit.
·        Berbohong asalnya diharamkan, namun ia diharuskan jika untuk membawa kemaslahatan seperti mendamaikan dua pihak yang bertelagah.
·        Menyedut air ke dalam hidung sunat pada asalnya, namun bagi orang yang berpuasa adalah makruh kerana dibimbangi akan terbatal puasanya.

d)      يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام)) Ditanggung kemudaratan berbentuk khas untuk menolak kemudaratan berbentuk am. Kaedah ini ditinjau dari sudut keumuman pengkhususan kemudaratan dan bahaya. Berdasarkan kaedah ini, sesuatu masalah terpaksa dihadapi dengan mendatangkan sesuatu kemudaratan yang mana pada waktu itu hendaklah ditempuhi kemudaratan khusus bagi menghindarkan kemudaratan yang lebih umum. Hal ini kerana bahaya kemudaratan yang berbentuk khusus adalah kurang jika di bandingkan dengan kemudaratan yang berbentuk umum. Antara hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
·        Ditegah doktor yang gila untuk mengubati pesakit dan hendaklah diletakkan di bawah kawalan dan penjagaan rapi.
·        Harus menahan golongan-golongan tertentu yang terlibat dalam menyebarkan fitnah dan ajaran sesat.
·         Harus menegah petani daripada menanam tanaman yang mempunyai unsur-unsur ganja dan candu serta yang boleh dijadikan bahan penyalahgunaan dadah, untuk memebendung bahaya dalam masyarakat.

e)      الضرر يدفع بقدر الامكان)) Kemudaratan dibendung semungkin yang dapat. Kaedah ini berasal daripada kaedah Usuliyyah yang berkaitan dengan skop kewajipan mencegah kemudaratan dan bahaya yang mana jika kemudaratan itu dapat dibendung seluruhnya, maka itulah yang terbaik. Namun, jika tidak termampu untuk berbuat demikian, maka lakukanlah sekadar yang termampu. Hal ini kerana taklif syarak itu dikenakan terhadap mukallaf adalah menurut kadar kemampuannya. Untuk itu, usaha untuk menyekat segala kemudaratan tersebut supaya tidak berlaku hendaklah diusahakan. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah : 
         
·        Usaha Abu Bakar al-Siddiq untuk mengumpul dan membukukan al-Quran supaya ia tidak hilang.
·        Umar al-Khattab mengambil tindakan membakar kedai arak agar tidak timbul masalah yang lebih besar.
·        Sekiranya mungkin dapat dicegah haiwan yang memekik atau berteriak dengan menggunakan suara atau sergahan, maka tidak perlulah menghindarkannya dengan tangan mahupun kayu.

f)        الضرر لا يكون قديما)) Kemudaratan yang terjadi tidak boleh dianggap telah lama terjadi. Syariat Islam tidak membezakan sedikit pun antara kemudaratan yang lama dengan yang baru sahaja berlaku, bahkan semuanya wajib di cegah dan dihilangkan. Justeru itulah kaedah ini merupakan kaedah pelengkap kepada kaedah asas yang sebelum ini. Selain itu, walaupun syariat memaafkan dan memberi kelonggaran terhadap berkekalan atau lama itu tidak ada sebarang kemudaratan padanya. Sebaliknya, jika terdapat padanya kemudaratan, walaupun ia telah lama berlaku, tetap wajib dihapuskan dan tidak ada beza dengan kemudaratan yang baru berlaku. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah : 

·        Diharuskan melarang doktor yang berpenyakit sawan daripada merawat pesakit, walaupun doktor tersebut telah mempunyai pengalaman yang lama dalam merawat pesakit.
·        Kiranya saluran longkang rumah seseorang itu mengalir di jalan umum dan mengganggu rang ramai, maka ia hendaklah dihapuskan walaupun telah lama berlaku.

5-   Adat dijadikan hukum (  العادة محكّمة )
       Kaedah ini membawa maksud sesuatu adat kebiasaan itu dapat ditetapkan sebagai hukum atau adat menentukan hukum. Untuk itu, para ulama’ menetapkan bahawa ‘uruf dan adat kebiasaan itu merupakan salah satu daripada sumber hukum dalam keadaan ketiadaan nas syarak. Namun, jika adat atau ‘uruf kebiasaan itu bercanggah dengan nas, ia ditolak serta merta. Sebagai contoh adat masyarakat Jahiliyyah yang mengharuskan anak lelaki mengahwini bekas isteri bapanya atau ibu tirinya. 

        Berdasarkan pengertian adat dan ‘uruf, ada sedikit perselisihan dalam kalangan ulama’ untuk mentafsirkannya. Namun, ianya adalah perbezaan kecil sahaja sedangkan skop dan konsepnya adalah sama. Adat ialah apa yang menjadi kebiasaan orang ramai atau segolongan dari kalangan mereka. Ia merupakan perkara yang diulang-ulang menurut kebiasaan sesuatu golongan mengikut cara tertentu dan diterima sebagai logik. Menurut al-Jurjani, adat adalah sesuatu perbuatan atau perkataan yang terus menerus dilakukan oleh manusia. Apa yang penting ialah ia dapat diterima oleh akal manusia serta dilakukan secara berulang-ulang. ‘Uruf pula ialah perkara yang dapat diterima dan disenangi menurut perasaan manusia. Ia adalah perkara yang tetap dalam diri manusia dari segi akal dan diterima oleh tabiat semulajadi yang sejahtera. Untuk itu, ‘uruf ialah perkara yang selaras dengan perasaan dan tabiat manusia yang mana merangkumi perkataan dan perbuatan.
   Pecahan kaedah
                Berikut adalah pecahan yang terdapat dalam kaedah ini, antaranya:[22] 

a)      انما تعتبر العادة اذا اطردت او غلبت ) ) Sesungguhnya adat yang diiktibar apabila berlaku berterusan atau kebiasaan dan lebih banyak berlaku. 
 Adat kebiasaan yang diiktibar apabila ia berterusan berlaku. Justeru itu, adat kebiasaan berada pada kedudukan syarat. Sebaliknya, jika adat kebiasaan itu berlaku secara tidak berterusan, ia perlu kepada nas atau pun dalil untuk mengharuskannya. Dalam konteks tersebut, sekiranya apa yang berlaku itu jelas secara berterusan pada adat kebiasaan, yang berterusan itu dikira sebagai hukum. Untuk itu, jadilah kedudukan akad menurut apa yang berlaku pada adat kebiasaan. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
·        Seseorang yang menyewa mesin jahit untuk menjahit pakaian, benang menjadi tanggungjawab siapa? Ada perselisihan pendapat dalam hal ini, dan menurut pendapat al-Rafi’i, perkara itu hendaklah dirujuk kepada adat kebiasaan. Apabila daripada adat kebiasaannya ada perselisihan, hendaklah ada penjelasan dan jika tiada maka akad sewa menyewa tersebut batal.

·        Seseorang yang melanggani majalah biasanya majalah tersebut sampai ke rumah setiap bulan. Untuk itu, apabila berlaku akad langganan, walaupun tanpa menyebut penghantaran, maka majalah tersebut secara langsungnya hendaklah dihantar. Jika tidak, pelanggan boleh menuntutnya.

b)      كل ما ورد به الشرع مطلقا ولا ضابط له فيه ولا فى اللغة يرجع فيه الى العرف )) Semua perkara yang dibawa oleh syarak berbentuk mutlak dan tiada dasar yang menjelaskannya daripada sudut syarak atau bahasa. Ia dikembalikan kepada uruf kebiasaan. 
Kaedah ini menjelaskan terdapat hukum yang ada ketepatannya dalam syarak, namun hanya secara mutlak sahaja. Ianya tidak ada sebarang penjelasan atau dalil syarak yang menjelaskannya. Oleh itu, ianya hendaklah dirujuk kepada adat kebiasaan. Antara hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
·          Berkaitan waktu dan tempoh haid serta kadarnya.
·          Berkaitan tempat penyimpanan yang sepatutnya dalam kes berkaitan dengan hukum hudud jenayah mencuri.

c)      تعارض العرف العام والخاص )) Berlaku pertentangan antara ‘uruf umum dan ‘uruf khas. 
‘uruf am ialah adat kebiasaan yang berlaku dalam kalangan semua umat Islam di seluruh Negara Islam dan ianya member kesan kepada hukum. Manakala ‘uruf khas pula ialah adat kebiasaan yang hanya berlaku  dalam kalangan sesetengah negara umat Islam sahaja dan ia juga member kesan kepada hukum. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
·        Seseorang itu menggunakan barang orang lain tanpa akad. Namun, menurut adat kebiasanaan penggunaannya, pengguna mestilah menjelaskan bayaran. Justeru, pengguna wajib membayarnya kerana dikira terkenal dalam masyarakat. 
·        Seseorang bapa menghantar anaknya untuk belajar al-Quran untuk satu tempoh. Selepas itu berlaku perselisihan antara bapa dan guru berkaitan dengan upah mengajar. Jadi, perkara ini dihukum dengan member upah menurut adat kebiasaan sesebuah kawasan tersebut.

     d)    ( تترك الحقيقة) Hakikat ditinggalkan dengan ada petunjuk menurut adat Kadang kala sesuatu perkara itu mempunyai pengertian yang berbeza. Satunya membawa pengertian hakiki, dan satu lagi membawa pengertian majazi. Namun, pengertian majazi adalah lebih meluas digunakan dalam kebiasaan hidup bermasyarakat. Oleh itu, berdasarkan kaedah ini, pengertian yang hakiki diketepikan dan pengertian majazi itu boleh dijadikan hujah untuk diamalkan. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :
             
·        Seseorang membeli barang dengan membayar deposit sahaja. Namun, sebelum ia mengambilnya, harga telah naik. Penjual tidak boleh membatalkan jual beli tersebut atau menjualkan barang tersebut kepada orang lain dengan alas an jual beli belum terlaksana sepenuhnya. Adat kebiasaanya ialah setelah dibayar sebahagian daripada jumlah harga barang, maka akad jualan telah pun terlaksana.


rujukan:
1-http://www.scribd.com/doc/38561888/qawaid-fiqhiyyah
2-http://komuniti.iluvislam.com/topic/22239-maksud-beberapa-istilah-istilah-fiqh/
الوجيز في القوائد الفقهية وتطبقاتها المعاصرة-3
4-http://ustazabdulwahab.wordpress.com/usul-fekah/qawaid-fiqhiyyah/
5-http://transformasiummah.blogspot.com/2011/02/qawaid-fiqhiyyah-tugasan-method-fiqh.html

cinta...

cinta...
cinta Allah tiada tandinginya..